Bahasa merupakan sebahagian daripada
wacana. Dengan bahasa sesuatu wacana dapat dihasilkan. Wacana terhasil daripada
satu susunan idea-idea yang tersusun dengan teratur. Setiap idea yang ditulis
perlulah berkesinambungan dengan idea yang lain. Idea itu pula perlulah
mempunyai makna dan perlu berkait dengan topik yang hendak diutarakan. Selain
itu, wacana merupakan bidang linguistik yang tertinggi. Penggunaan wacana
digunakan setiap jenis bidang pada hari ini. Menurut Asmah Haji Omar, wacana
ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat yang di dalamnya memperlihatkan
hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat,
sejumlah ayat, ceraian, perenggan bab, buku, novel, cerpen, cerita, dialog,
siri buku dan sebagainya. Kamus Webster (1983) pula mendefinisikan wacana
sebagai hubungan fikiran dengan kata-kata iaitu ekspresi idea-idea atau
gagasan-gagasan atau percakapan. Terdapat dua jenis fungsi bahasa dalam wacana
iaitu transaksional dan interaksional. Dalam tugasan ini akan memfokuskan
tentang aspek fungsi transaksional dan interaksional dalam bidang-bidang
kehidupan manusia. Fungsi bahasa digunakan dalam kehidupan seharian manusia sebagai
contoh ketika seseorang itu lapar dia akan mengatakan dia lapar. Dari situ
dapat dilihat fungsi bahasa tersebut digunakan dalam kehidupan manusia. Ramai
ahli linguistik yang terlibat mengkaji tujuan sebenar bahasa digunakan. Fungsi
bahasa iaitu transaksional dan interaksional telah diperkenalkan oleh Brown dan
Yule (1983) dan istilah ini sama dengan istilah yang telah diperkenalkan oleh
Jakobson, Halliday dan Lyons.
No comments:
Post a Comment